Kelengkapan tempur Kelas Laksamana

Walaupun bersaiz kecil, kapal-kapal ini sangat berupaya kerana ia dilengkapi untuk menangani ancaman daripada ketiga-tiga aspek peperangan maritim. Sebelum ketibaan kapal-kapal ini, tiada kapal TLDM yang dilengkapkan peluru berpandu anti udara kecuali KD Rahmat. Setiap unit Laksamana membawa empat buah peluru berpandu Aspide anti udara pada pelancar Albatross. Peluru berpandu Aspide merupakan versi yang telah melalui peningkatan daripada peluru berpandu Sea Sparrow. Kelas Laksamana juga membawa enam buah peluru berpandu Otomat Teseo Mark2 yang mempunyai jangkauan sehingga 120km untuk memusnahkan sasaran permukaan. Torpedo anti kapal selam pula dilancarkan dari dua pelancar Alenia ILAS-3 di kedua-dua sisi kapal. Seperti kebiasaan reka bentuk kapal Itali yang mementingkan kelajuan, Hang Nadim, Tun Abdul Jamil, Muhammad Amin dan Tan Pusmah mempunyai kelajuan maksima 36 knot.